Tuesday, 29 May 2018

Penyenaraian Petronas bukan sekarang, kata pakar ekonomi

KUALA LUMPUR: Adalah tidak pragmatik untuk syarikat minyak kebangsaan, Petronas, disenaraikan pada waktu suasana pasaran dalam keadaan tertekan, tetapi ia adalah strategi yang boleh dipertimbangkan apabila bursa tempatan kembali normal, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi IQI Global, Shan Saeed, berkata Arab Saudi menangguhkan penyenaraian lima peratus daripada AS$2 trillion (AS$1 = RM3.98) syarikat minyak milik negaranya, Saudi Aramco, daripada tahun ini kepada 2019.

"Arab Saudi mengelakkan (Saham Terbitan Awam (IPO) berkenaan) disebabkan oleh ketidak tentuan dan turun naik pasaran, dan ia tidak dianggap sebagai pragmatik untuk penyenaraian pada masa ini," katanya pada Isnin.

Shan berkata demikian ketika diminta pandangannya berikutan laporan yang memetik seorang pelabur mencadangkan kepada kerajaan untuk menyenaraikan Petronas sebagai satu cara untuk mendapatkan jumlah wang yang besar dengan segera.

Berikutan pendedahan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa hutang Malaysia mencecah RM1 trilion, ketua ekonomi berkenaan berkata, adalah penting untuk negara mempunyai strategi perolehan alternatif.
"Di peringkat global, kerajaan mempunyai pelan kontingensi untuk memenuhi sasaran pertumbuhan dan perolehan. Kita percaya kerajaan perlu memikirkan beberapa perkara sebelum menyenaraikan aset penting negara.

"Pertama, harga minyak semakin meningkat kepada lebih AS$80 setong. Brent melebihi AS$75 setong (pada Isnin) pada pembukaan dagangan dan bajet tahun ini (Bajet 2018) adalah berdasarkan AS$55 setong.

"Dalam menganalisa dinamika tenaga global dan prospek pasaran minyak, kita percaya kerajaan masih mampu untuk mendapat keuntungan minimum AS$25 atau lebih setong," katanya.

Menurut Shan, permintaan terhadap minyak mungkin mencecah 100 tong sehari menjelang suku ketiga atau keempat 2019, justeru harga minyak mungkin meningkat lagi sementara risiko geopolitik akan memberi kesan ke atas pasaran termasuk minyak.

"Sebarang struktur utama atau gangguan ekonomi dalam kalangan negara pengeluar tenaga akan mengakibatkan kekangan bekalan yang menyebabkan harga minyak yang lebih tinggi.

"Kesemua jenis aset akan terkesan disebabkan ketidak tentuan dalam pasaran tenaga. Pasaran ekuiti global tidak berada dalam zon nilai sebenar kerana beberapa pasaran akan terlalu mahal," katanya.

Mengingatkan bahawa kerajaan sudah mengumumkan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Jun, 2018, Shan berkata, cukai kekal sentiasa memberikan kesan positif kepada permintaan agregat.

Katanya, penggunaan memberikan sumbangan besar kepada persamaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara manakala pengurangan cukai akan menarik perhatian pengguna untuk terus atau meningkatkan tahap penggunaan mereka.

"Ia akan menyediakan galakkan kepada keseluruhan permintaan agregat di peringkat makro. Penggunaan yang meningkat, seterusnya, meningkaktkan saiz KDNK yang mana ia adalah penting untuk mengukur tahap pendapatan keseluruhan.

"Di IQI Global, ramalan kami kekal dalam keadaan baik untuk KDNK Malaysia berkembang 4.9-5.4 peratus," kata Shan

Ketua Ekonomi itu juga berkata, kerajaan seharusnya menghimpunkan kesemua data aset yang memberikan nilai kepada nisbah cukai-kepada-KDNK dan menjual aset tidak produktif yang tidak memberikan hasil positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kerajaan boleh menimbangkan opsyen ini sebelum meneruskan dengan penyenaraian (Petronas). Malaysia tidak berada dalam situasi terperangkap pada masa ini. Asas makro ekonomi adalah kukuh dengan permintaan agregat yang kukuh," tambah Shan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment