Wednesday 28 February 2018

Malaysia masih jadi pilihan pelabur asing

KUALA LUMPUR: Pelabur luar memasuki Malaysia buat minggu kedua berturut-turut, dengan tahap tertinggi minggu lepas, kata MIDF Amanah Investment Bhd.

Ia berkata berdasarkan data awal daripada Bursa Malaysia, tidak termasuk tawaran pasaran, jumlah bersih yang diperoleh oleh pelabur asing di bursa minggu lepas berjumlah RM190.9 juta, peningkatan besar berbanding RM4.5 juta dibeli pada minggu sebelumnya hujung minggu yang panjang.

Belian asing ini berlaku pada tiga daripada lima hari dagangan minggu lepas, dengan Isnin mencatat aliran masuk harian tertinggi dalam tempoh 10 hari dagangan, dengan jumlah bersih RM164.3 juta, sekali gus menolak naik FBM KLCI sebanyak 1.04 peratus kepada 1,857 mata.

"Kami melihat pelabur asing memulakan hari dagangan pertama Tahun Anjing susulan Wall Street yang sudah pun mencatat peningkatan pada minggu sebelumnya," kata MIDF dalam laporan aliran dana mingguannya hari ini.

Ia berkata pelabur asing juga terus membeli pada Selasa, namun pada kadar yang lebih stabil, sebanyak RM31.8 juta ketika tiada pemangkin baharu dalam pasaran susulan penutupan semalaman saham AS pada Isnin.

Kemerosotan Wall Street pada Rabu disebabkan minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS bagi Januari yang menunjukkan perlunya kadar faedah dinaikkan, menyebabkan penurunan dalam pasaran Asia, termasuk Malaysia pada Khamis.

"Oleh itu, tidak mengejutkan pelabur asing menjual AS$30.8 juta bersih pada hari itu. Yang menariknya, penurunan 0.17 peratus FBM KLCI pada Khamis, tidak seteruk rakan-rakan lain di Asia Tenggara," kata MIDF.

FBM KLCI pulih dan mengakhiri minggu ini pada 1,862 mata, disokong oleh pembelian asing berjumlah RM48.5 juta bersih.

"Kami mendapati sentimen meningkat pada Jumaat selepas saham Public Bank mencecah rekod tertinggi sebanyak RM22.90 berikutan prestasinya yang positif dalam tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017, yang dikeluarkan sehari sebelumnya," kata MIDF.

Setakat tahun ini, pelabur asing telah mengumpul bersih ekuiti tempatan sebanyak RM2.1 bilion, berbeza dengan RM1.3 bilion yang dibeli dalam tempoh yang sama pada 2017.

"Pelabur asing kekal aktif berdasarkan purata nilai dagangan harian (ADTV) melebihi RM1 bilion selama lapan minggu berturut-turut.

Sementara itu, ADTV runcit pulih, meningkat 53 peratus minggu ini kepada RM1 bilion berbanding RM663 juta sebelumnya," kata MIDF. - BERNAMA

Paras rintangan ringgit dijangka pada RM3.82


Kuala Lumpur: Tahap rintangan ringgit dijangka pada RM3.82 berbanding Dolar Amerika Syarikat susulan kekukuhan asas ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz.

“Ringgit masih bergantung kepada keadaan luaran yang tidak menentu. Namun jika berdasarkan asas ekonomi, ia mempunyai paras rintangan RM3.82.

“Pagi ini ia berada pada RM3.92 berbanding dollar dan sejak beberapa bulan nilai ringgit adalah stabil.” Katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara SME Bank dan Kesatuan Sekerja Komersil Kebangsaan (NUCW) di sini hari ini. Menurutnya, kedudukan harga minyak mentah turut mempengaruhi pergerakan nilai ringgit.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Pegawai Operasi SME Bank Datuk Razman Mohd Noor berkata SME Bank tidak mengubah kedudukan Kadar Asas Pembiayaan (BFR) bagi semua pembiayaannya.

“Kami tidak mengubah dan kami menyerap kesemua kos.” Katanya ketika mengulas berkaitan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumum oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

SME Bank mempunyai kadar BFR sekitar 4 ke 8 peratus bergantung kepada produk pembiayaan yang disediakan.

BNM pada awal Februari menaikan OPR sebanyak 0.25 mata kepada 3.25 kali pertama dalam tempoh lebih tiga tahun.- Astroawani.

Saturday 24 February 2018

Permohonan kemasukan Program Matrikulasi KPM Sesi 2018 / 2019 (TERHAD)



Assalamualaikum dan salam sejahtera..




Pembukaan semula pemohonan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia sesi 2018/2019

Untuk keterangan lanjut, sila layari






Friday 23 February 2018

Tawaran Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi tahun 2018



SKIM LATIHAN TENAGA PENGAJAR PROGRAM MATRIKULASI
DI BAWAH PROGRAM PENGHANTARAN PELAJAR CEMERLANG KE LUAR NEGARA TAHUN 2018 



Syarat-Syarat Permohonan:
1. Permohonan ini terbuka kepada pelajar Program Matrikulasi KPM Sesi Pengajian 2017/2018.
2. Memperoleh keputusan PNGK terkini 3.50 dan ke atas dalam PSPM.
3. Memperolehi keputusan minimum gred B bagi Bahasa Inggeris 1119 dan gred 4B bagi English GCE-O Level di peringkat SPM.

Program ini menawarkan Biasiswa Perguruan Persekutuan
untuk pengajian ke peringkat Ijazah Pertama di dalam bidang Science,
Technology, Engineering and Mathematics
(STEM)
di United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Pelajar yang berjaya menamatkan program ini akan ditempatkan sebagai
tenaga pengajar di kolej-kolej matrikulasi seluruh negara.

Makluman Penting:
a) Permohonan dibuka mulai 26 Februari hingga 9 Mac 2018.
b) Permohonan yang tidak menepati syarat-syarat permohonan tidak akan dipertimbangkan.
c) Keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang mendapat purata gred A dalam bidang pengajian yang dipilih.
Contoh: Pilihan bidang pengajian Bachelor of Science (Physics), memperoleh purata gred A bagi mata pelajaran Fizik dalam PSPM.
d) Calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya Band 4 dalam Malaysian University English Test (MUET).
e) Calon boleh menyemak status panggilan temuduga dan Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) pada 22 Mac 2018  23 Mac 2018.
f) Calon yang layak menduduki temuduga perlu menyediakan dokumen seperti Lampiran 1.
g) Permohonan dianggap tidak berjaya sekiranya tidak dihubungi dalam masa tiga (3) bulan dari tarikh tutup permohonan.

Sunday 18 February 2018

Ekonomi diramal tumbuh purata 5.5 peratus tahun ini


KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diramal tumbuh pada purata 5.5 peratus tahun ini dipacu pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan gaji berterusan dan inflasi menyederhana dalam ekonomi domestik, menurut MIDF Research dalam nota kajian.

Unjuran itu selari dengan prestasi ekonomi negara pada 2017 yang merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus disumbang permintaan domestik kukuh.

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh 5.9 peratus pada suku keempat 2017 melepasi jangkaan pasaran pada 5.8 peratus," Kata MIDF.
Menurut MIDF, pertumbuhan kukuh suku keempat itu disokong kadar penggunaan sektor swasta dan pelaburan yang tumbuh kukuh.

“Pasaran buruh yang kukuh serta peningkatan pertumbuhan gaji telah memacu penggunaan swasta," kata MIDF

MIDF bagaimanapun meramalkan pertumbuhan penggunaan swasta akan menyederhana tahun ini disumbang beberapa faktor antaranya perubahan potongan gaji kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikembalikan kepada 11 peratus berbanding lapan peratus.

“Eksport bersih juga kekal utuh disokong permintaan dari negara maju dan membangun selain pemulihan berperingkat harga komoditi,” kata MIDF yang turut meramalkan eksport 2018 akan tumbuh 9.3 peratus.

Selain itu, MIDF berkata beberapa angka lain turut menunjukkan prestasi positif termasuk sektor perkhidmatan yang tumbuh 6.2 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan di atas kadar enam peratus bagi tiga suku berturut-turut.

“Sektor pembuatan juga berkembang positif pada 5.4 peratus, pertumbuhan di atas lima peratus untuk empat suku berturut-turut," kata firma kajian itu.- Astroawani.

Harga rumah tinggi: Apa pilihan bagi golongan muda?


KUALA LUMPUR: "Rumah sekarang harga mahal sangat, tak mampu nak beli. Kalau ada harga yang rendah sikit, lokasinya jauh sangat dari tempat kerja."

Itulah antara luahan yang sering didengar daripada golongan muda apabila berbicara soal pembelian rumah.

Dalam keadaan harga rumah baharu dibina yang terlalu tinggi buat golongan muda yang mencari rumah pertama, sudah sampai masanya mereka melihat pembelian rumah dari perspektif lain iaitu membeli rumah sekunder atau 'subsale'.

Pembelian rumah sekunder ini dilihat lebih sesuai untuk golongan muda yang baharu mula bekerja terutamanya di bandar bagi dijadikan fokus dalam memiliki rumah pertama berbanding membeli rumah dalam pasaran baharu atau dalam pembinaan.

Bagi penulis hartanah dan pelaburan Dr Azizul Azli Ahmad, rumah sekunder yang merujuk kepada membeli rumah daripada pihak lain selepas pemaju masih banyak dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding harga rumah baharu.

"Sebagai contoh, kondominium sekunder di Bangsar masih ada dijual pada harga RM600 hingga RM1,000 satu kaki persegi (kps) berbanding kondominium baharu yang dijual pada harga RM1,500 hingga RM2,200 kps," katanya ketika dihubungi Bernama.
Azizul Azli berkata, jika membuat carian dalam laman sosial seperti mudah.my dan myproperty.com, masih banyak rumah sekunder di Kuala Lumpur yang dijual bawah RM200,000, yang mana harga itu mampu dibeli oleh kebanyakan mereka yang mula bekerja.

Beliau berkata pembeli rumah sekunder juga boleh melakukan proses tawar-menawar harga asal rumah itu dengan pemilik berbanding harga jualan rumah baharu yang dibina pemaju.

"Selain itu, rumah subsale yang dibeli dijamin boleh diduduki terus tanpa bimbang berlakunya kes rumah terbengkalai, akses kemudahan seperti kedai dan mereka juga boleh berurusan terus dengan pemilik asal sekiranya terdapat kerosakan pada rumah semasa proses jual beli," katanya sambil menambah pada tahun lepas sahaja pasaran jualan hartanah sekunder ada lebihan RM4 bilion.

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) dalam buletin suku tahunannya mendedahkan bahawa Malaysia menghadapi kekurangan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan ramai, yang menunjukkan rumah di negara ini 'tidak mampu dibeli'.
BNM menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000, berdasarkan pendekatan beban kos perumahan, namun median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228.

Ditanya mengenai trend untuk terus menyewa hingga benar-benar mampu membeli rumah idaman, Azizul Azli berkata konsep terus menyewa tidak salah dipraktikkan sekiranya kadar bayaran bulanan sewa hanya 50 peratus daripada bayaran pembiayaan perumahan semasa.

Sementara itu, Koordinator Program Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak, Dr Hairul Nizam Mansor berpendapat kerajaan perlu menyediakan polisi yang lebih agresif dalam mengawal harga pasaran hartanah.

"Di negara kita ada golongan yang mampu beli rumah berharga lebih RM300,000 dan menyewakan rumah itu hingga menjadikan harga hartanah semakin mahal menyebabkan satu lagi golongan yang tidak mampu perlu menyewa sampai bila-bila.

"Kerajaan perlu memperbanyakkan polisi perumahan seperti mengehadkan kuota pembelian rumah mahal kepada dua sahaja seperti di luar negara, selain kawalan peminjaman di Bank Negara perlu diketatkan," katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Ahyat Ishak, mempunyai pandangan berbeza terhadap kemampuan golongan muda untuk membeli rumah, sambil melahirkan kebimbangan beliau dengan trend terkini iaitu mereka lebih suka menilai 'harta' pada pengalaman hidup berbanding menyimpan duit untuk jaminan masa depan.

"Sekarang, orang muda banyak habiskan gaji mereka dengan melancong, tukar gajet dan fesyen terkini yang menyebabkan mereka tiada langsung duit simpanan sebagai deposit pembelian aset atau rumah. Penyimpanan duit dari awal memang sukar tapi perlu...tiada negara di dunia boleh beli rumah dengan senang-senang," katanya. -- Bernama

Thursday 15 February 2018

Wednesday 14 February 2018

Ekonomi Malaysia tumbuh 5.9 peratus pada 2017




KUALA LUMPUR: Ekonomi negara pada 2017 direkodkan pada 5.9 peratus, disokong permintaan domestik, termasuk sektor swasta dan sektor luaran, berbanding 4.2 peratus pada 2016.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), angka itu dicapai selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat direkodkan pada 5.9 peratus.

“Inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 3.5 peratus pada suku keempat 2017 berbanding 3.6 peratus suku ketiga, disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori perumahan, air, elektrik dan gas serta pengangkutan.

“Bagi tahun 2017 secara keseluruhan, purata inflasi ialah 3.7 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2016,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan. 

Ekonomi Malaysia dijangka kekal menggalakkan pada tahun 2018

BNM juga menyatakan, bagi tahun 2018, pertumbuhan ekonomi dijangka terus menggalakkan dengan permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Tambahnya, jangkaan bahawa kadar pertumbuhan global akan menjadi lebih pantas terus memberikan manfaat kepada eksport Malaysia, sekali gus menghasilkan limpahan positif terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri.

“Inflasi keseluruhan dijangka menjadi sederhana pada tahun 2018, mencerminkan kesan faktor kos global yang lebih kecil, serta ringgit yang lebih kukuh berbanding dengan tahun 2017,” kata BNM.

Kestabilan kewangan terpelihara

Pasaran kewangan domestik secara keseluruhan mengalami turun naik yang lebih rendah di tengah-tengah sentimen pasaran yang bertambah baik.

“Institusi kewangan domestik mengekalkan kualiti aset dan tahap keberuntungan yang kukuh.

“Secara agregat, sektor perniagaan dan isi rumah terus menunjukkan kemampuan yang kukuh untuk membayar balik hutang," tambahnya.

-Astroawani.