Thursday 31 May 2018

Defisit fiskal meningkat kepada RM40.1 bilion, defisit bajet kekal 2.8 peratus

PUTRAJAYA 31 Mei - Defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat kepada RM40.1 bilion berbanding RM39.8 bilion, sekali gus mengekalkan defisit bajet sebanyak 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2018, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga komited untuk melaksanakan sasaran utama manifesto dan janji bagi mengurangkan bebanan rakyat yang disusuli dengan pengumuman tiga pendekatan berkaitan.

"Pendekatan itu adalah (pelaksanaan) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar mulai 1 Jun dan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September tahun ini.

"Langkah ini akan 'mengembalikan' kira-kira RM17 bilion kepada rakyat Malaysia untuk tempoh seterusnya bagi tahun ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Guan Eng berkata kerajaan turut mengumumkan mekanisme penstabilan harga minyak RON95 pada RM2.20 seliter manakala diesel RM2.18 seliter yang membabitkan penjimatan sebanyak RM3 bilion kepada rakyat negara ini.

Tidak ketinggalan, pemberian bantuan khas Hari Raya berjumlah RM700 juta kepada penjawat awam (Gred 41 dan ke bawah) serta pesara yang turut dinyatakan Guan Eng pada sidang media itu.

Beliau berkata, tiga pendekatan itu yang membabitkan jumlah sehingga RM20.7 bilion akan merangsang perbelanjaan pengguna Malaysia dan meningkatkan sentimen optimis dan keuntungan perniagaan.

"Pada masa sama, kita juga maklum mengenai (paras) hutang kerajaan Persekutuan yang melebihi RM1 trilion dan perlu mengekalkan disiplin fiskal bagi memastikan perbelanjaan secara mapan," katanya.

Malah, tegas beliau, sejajar usaha keutamaan perbelanjaan, kerajaan akan mengkaji semula, menangguhkan serta melakukan rundingan semula projek-projek yang dikenal pasti membabitkan kos besar dengan nilai sekurang-kurangnya RM10 bilion yang pada akhirnya akan memberi hasil tambahan kepada negara.

Guan Eng turut memperincikan hasil tambahan yang dimaksudkan beliau termasuk anggaran RM5.4 bilion membabitkan kenaikan harga minyak daripada US$52 setong yang digunapakai dalam Bajet 2018 kepada harga semasa sebanyak US$70 setong.

Peningkatan hasil itu adalah dalam bentuk pendapatan cukai korporat dan petroleum tambahan daripada syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia, katanya.

Selain itu, hasil dianggarkan RM5 bilion disumbang oleh peningkatan dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad, Bank Negara Malaysia and Petroliam Nasional Berhad.

"Pelaksanaan SST pada September nanti pula akan menyumbang hasil yang diunjurkan sebanyak RM4 bilion.

"Anggaran konservatif ini adalah kerana hakikatnya hasil SST itu akan hanya direalisasikan mulai November dan seterusnya dan mengambil kira mekanisme kutipan hutang dwibulanan bagi pengilang tempatan," katanya. - BERNAMA

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 31 Mei - Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar US hari ni ketika permintaan global yang bertambah baik meningkatkan permintaan terhadap mata wang baru muncul, termasuk ringgit, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan itu berada pada 3.9780/ 09820 berbanding 3.9870/9900 pada Rabu.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, ringgit telah mendapat manfaat daripada peningkatan selera risiko, terutama disebabkan redanya kebimbangan terhadap krisis politik di Itali.

"Ini telah meningkatkan tarikan pelabur ke arah mengambil risiko dengan pasaran sekarang semakin optimis bahawa prospek pilihan raya kecil di Itali akan dapat dielakkan.

"Bagaimanapun, pelabur masih perlu memantau perkembangan di Itali kerana ia akan terus menjadi risiko untuk pasaran global," katanya kepada Bernama.

Jameel juga berkata, terdapat juga kelemahan untuk dolar semalam yang juga menawarkan ringgit dengan momentum untuk bergerak lebih tinggi.

Sementara itu, unit tempatan tersebut lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang asing lain, kecuali yen.

Ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.3059/3116 daripada 5.2904/2963 pada Rabu dan jatuh berbanding euro kepada 4.6551/6605 daripada 4.6301/6344 sebelumnya.


Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9749/9785 daripada 2.9714/9741 semalam tetapi lebih tinggi berbanding yen kepada 3.6542/6589 daripada 3.6645/6680. - BERNAMA



433,000 peminjam PTPTN dikeluarkan daripada senarai hitam imigresen

PUTRAJAYA: Kira-kira 433,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen secara berperingkat-peringkat sejak 24 Mei lepas dan dijangka selesai 15 Jun ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata lebih satu juta peminjam telah disenarai hitam sejak tahun 2000 namun 655,000 orang yang telah membuat bayaran dikeluarkan daripada senarai tersebut melalui kaedah biasa sebelum ini.

"Saya jangka semua urusan yang berkaitan akan dapat diselesaikan sebelum pertengahan Jun. Maka dengan itu saya percaya bahawa janji yang pertama berkaitan kementerian saya akan dapat kita kotakan," katanya pada majlis penyerahan surat tawaran rasmi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, di sini hari ini.

Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 telah berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Mengenai janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan, Maszlee berkata pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji itu.

"Saya akan membuat pengumuman sewajarnya apabila tiba masanya nanti, sebelum berakhir tempoh 100 hari pertama (Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan)," katanya.
Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan sebuah kumpulan untuk mengkaji dengan teliti cara terbaik bagi melaksanakan janji tersebut dalam tempoh 100 hari dengan tidak menggadaikan kepentingan rakyat lain yang turut diberi keutamaan oleh kerajaan.

"Jadi kita harap peminjam PTPTN dapat terus membayar hutang mereka dan dapat bersabar. Berikan kami waktu untuk membuat kajian dan perincian," katanya.

Ditanya mengenai status peminjam PTPTN yang tersenarai di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS), beliau berkata nama peminjam akan masuk ke dalam senarai CCRIS secara automatik dalam tempoh 13 bulan selepas mereka tamat pengajian.

Bagaimanapun, Maszlee berkata kementerian akan mengkaji isu itu dan membuat penyelarasan dengan CCRIS.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff yang turut serta dalam sidang media itu berkata peminjam yang tersenarai di bawah CCRIS boleh hadir ke kaunter PTPTN untuk menyusun semula hutang mereka.

"Kalau tidak mampu bayar ansuran bulanan RM100, boleh bincang untuk bayar RM50," katanya.

Mengenai diskaun bayaran balik PTPTN yang diumumkan dalam Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu, Wan Ahmad berkata ia masih dilaksanakan bagi mereka yang masih berhasrat untuk membayar pinjaman masing-masing.

Diskaun PTPTN ialah 20 peratus untuk bayaran penuh, 10 peratus untuk bayaran 50 peratus sekali bayaran dan 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan sebuah jawatankuasa induk pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berkaitan dengan kementerian tersebut.

Katanya jawatankuasa itu dianggotai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan semua anggota pengurusan tertinggi kementerian dengan bahagian dasar sektor pengajian asas dan pengajian tinggi akan bertindak sebagai urusetia.

"Saya sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa ini dan saya akan memanggil mesyuarat pertama pada minggu hadapan," katanya.

Ditanya pengiktirafan kepada Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) yang turut terkandung dalam manifesto PH, Maszlee berkata perkara itu akan turut dibincangkan oleh jawatankuasa tersebut.

"Sebahagian daripada usaha kami, kami akan berjumpa dengan pihak berkepentingan yang terlibat (termasuk pihak persatuan)," katanya.


Mengenai Program PERMATA yang dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pendidikan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi membincangkan perkara itu.-- BERNAMA

Tuesday 29 May 2018

Malaysia naik ke ranking 22 senarai Daya Saing Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia naik dua anak tangga kepada kedudukan 22 dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) Pusat Daya Saing Dunia.

"Malaysia merupakan satu-satunya ekonomi (di Asia Tenggara) yang mencatatkan kenaikan dua anak tangga, dipacu oleh pemulihan kukuh prestasi ekonomi, khususnya perdagangan antarabangsa," menurut kumpulan penyelidikan yang berpangkalan di Switzerland itu dalam kenyataan pada Rabu.

Lima negara teratas yang paling berdaya saing di dunia kekal seperti pada 2017, namun kedudukan itu berubah.

Amerika Syarikat kembali ke tangga pertama dari kedudukan keempat tahun lepas, didorong terutamanya oleh prestasi ekonomi dan infrastruktur yang kukuh.
Kedudukan itu diikuti Hong Kong, Singapura, Netherlands dan Switzerland.

Singapura - yang tidak berubah di kedudukan ketiga, secara global, mengekalkan rankingnya dalam kalangan ekonomi di Asia Tenggara dengan disokong kecekapan kerajaannya yang mapan.

Bagaimanapun, IMD berkata negara itu "terus akan dijejaskan oleh paras hutang swasta yang lebih tinggi dalam ekonomi dan had harga yang tinggi, terutama dari segi hartanah, yang mengurangkan kualiti hidup dan tarikan bakat."

Selain Malaysia, Jepun (di tangga ke-25), Korea Selatan (ke-27) dan India (ke-44) menunjukkan sedikit peningkatan.

Negara Asia yang mengalami penurunan kedudukan ialah Taiwan (ke-17), Thailand (ke-30) dan Indonesia (ke-43).

Filipina terjejas paling ketara di rantau ini, apabila turun ke tangga 50 daripada kedudukan kesembilan disebabkan antaranya penyusutan sektor pelancongan dan pekerjaan, kewangan awam yang semakin teruk dan kebimbangan kian meningkat terhadap sistem pendidikan.

"Negara dari rantau ini yang mengalami penurunan tahun ini, kecuali Taiwan, semuanya menunjukkan tanda-tanda keperluan untuk menambah baik infrastruktur ketara dan saintifik," kata IMD.

IMD Pusat Daya Saing Dunia menerbitkan ranking tahunan itu sejak 1989.


Tahun ini, ia memberi tanda aras bagi prestasi 63 negara berdasarkan lebih 340 kriteria yang mengukur aspek daya saing yang berbeza. -- Bernama

Penyenaraian Petronas bukan sekarang, kata pakar ekonomi

KUALA LUMPUR: Adalah tidak pragmatik untuk syarikat minyak kebangsaan, Petronas, disenaraikan pada waktu suasana pasaran dalam keadaan tertekan, tetapi ia adalah strategi yang boleh dipertimbangkan apabila bursa tempatan kembali normal, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi IQI Global, Shan Saeed, berkata Arab Saudi menangguhkan penyenaraian lima peratus daripada AS$2 trillion (AS$1 = RM3.98) syarikat minyak milik negaranya, Saudi Aramco, daripada tahun ini kepada 2019.

"Arab Saudi mengelakkan (Saham Terbitan Awam (IPO) berkenaan) disebabkan oleh ketidak tentuan dan turun naik pasaran, dan ia tidak dianggap sebagai pragmatik untuk penyenaraian pada masa ini," katanya pada Isnin.

Shan berkata demikian ketika diminta pandangannya berikutan laporan yang memetik seorang pelabur mencadangkan kepada kerajaan untuk menyenaraikan Petronas sebagai satu cara untuk mendapatkan jumlah wang yang besar dengan segera.

Berikutan pendedahan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa hutang Malaysia mencecah RM1 trilion, ketua ekonomi berkenaan berkata, adalah penting untuk negara mempunyai strategi perolehan alternatif.
"Di peringkat global, kerajaan mempunyai pelan kontingensi untuk memenuhi sasaran pertumbuhan dan perolehan. Kita percaya kerajaan perlu memikirkan beberapa perkara sebelum menyenaraikan aset penting negara.

"Pertama, harga minyak semakin meningkat kepada lebih AS$80 setong. Brent melebihi AS$75 setong (pada Isnin) pada pembukaan dagangan dan bajet tahun ini (Bajet 2018) adalah berdasarkan AS$55 setong.

"Dalam menganalisa dinamika tenaga global dan prospek pasaran minyak, kita percaya kerajaan masih mampu untuk mendapat keuntungan minimum AS$25 atau lebih setong," katanya.

Menurut Shan, permintaan terhadap minyak mungkin mencecah 100 tong sehari menjelang suku ketiga atau keempat 2019, justeru harga minyak mungkin meningkat lagi sementara risiko geopolitik akan memberi kesan ke atas pasaran termasuk minyak.

"Sebarang struktur utama atau gangguan ekonomi dalam kalangan negara pengeluar tenaga akan mengakibatkan kekangan bekalan yang menyebabkan harga minyak yang lebih tinggi.

"Kesemua jenis aset akan terkesan disebabkan ketidak tentuan dalam pasaran tenaga. Pasaran ekuiti global tidak berada dalam zon nilai sebenar kerana beberapa pasaran akan terlalu mahal," katanya.

Mengingatkan bahawa kerajaan sudah mengumumkan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Jun, 2018, Shan berkata, cukai kekal sentiasa memberikan kesan positif kepada permintaan agregat.

Katanya, penggunaan memberikan sumbangan besar kepada persamaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara manakala pengurangan cukai akan menarik perhatian pengguna untuk terus atau meningkatkan tahap penggunaan mereka.

"Ia akan menyediakan galakkan kepada keseluruhan permintaan agregat di peringkat makro. Penggunaan yang meningkat, seterusnya, meningkaktkan saiz KDNK yang mana ia adalah penting untuk mengukur tahap pendapatan keseluruhan.

"Di IQI Global, ramalan kami kekal dalam keadaan baik untuk KDNK Malaysia berkembang 4.9-5.4 peratus," kata Shan

Ketua Ekonomi itu juga berkata, kerajaan seharusnya menghimpunkan kesemua data aset yang memberikan nilai kepada nisbah cukai-kepada-KDNK dan menjual aset tidak produktif yang tidak memberikan hasil positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kerajaan boleh menimbangkan opsyen ini sebelum meneruskan dengan penyenaraian (Petronas). Malaysia tidak berada dalam situasi terperangkap pada masa ini. Asas makro ekonomi adalah kukuh dengan permintaan agregat yang kukuh," tambah Shan.- BERNAMA