KUALA LUMPUR: Malaysia naik dua anak tangga kepada kedudukan
22 dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD yang diterbitkan oleh Institut
Pembangunan Pengurusan (IMD) Pusat Daya Saing Dunia.
"Malaysia merupakan satu-satunya ekonomi (di Asia
Tenggara) yang mencatatkan kenaikan dua anak tangga, dipacu oleh pemulihan
kukuh prestasi ekonomi, khususnya perdagangan antarabangsa," menurut
kumpulan penyelidikan yang berpangkalan di Switzerland itu dalam kenyataan pada
Rabu.
Lima negara teratas yang paling berdaya saing di dunia kekal
seperti pada 2017, namun kedudukan itu berubah.
Amerika Syarikat kembali ke tangga pertama dari kedudukan
keempat tahun lepas, didorong terutamanya oleh prestasi ekonomi dan
infrastruktur yang kukuh.
Kedudukan itu diikuti Hong Kong, Singapura, Netherlands dan
Switzerland.
Singapura - yang tidak berubah di kedudukan ketiga, secara
global, mengekalkan rankingnya dalam kalangan ekonomi di Asia Tenggara dengan
disokong kecekapan kerajaannya yang mapan.
Bagaimanapun, IMD berkata negara itu "terus akan
dijejaskan oleh paras hutang swasta yang lebih tinggi dalam ekonomi dan had
harga yang tinggi, terutama dari segi hartanah, yang mengurangkan kualiti hidup
dan tarikan bakat."
Selain Malaysia, Jepun (di tangga ke-25), Korea Selatan
(ke-27) dan India (ke-44) menunjukkan sedikit peningkatan.
Negara Asia yang mengalami penurunan kedudukan ialah Taiwan
(ke-17), Thailand (ke-30) dan Indonesia (ke-43).
Filipina terjejas paling ketara di rantau ini, apabila turun
ke tangga 50 daripada kedudukan kesembilan disebabkan antaranya penyusutan
sektor pelancongan dan pekerjaan, kewangan awam yang semakin teruk dan
kebimbangan kian meningkat terhadap sistem pendidikan.
"Negara dari rantau ini yang mengalami penurunan tahun
ini, kecuali Taiwan, semuanya menunjukkan tanda-tanda keperluan untuk menambah
baik infrastruktur ketara dan saintifik," kata IMD.
IMD Pusat Daya Saing Dunia menerbitkan ranking tahunan itu
sejak 1989.
Tahun ini, ia memberi tanda aras bagi prestasi 63 negara
berdasarkan lebih 340 kriteria yang mengukur aspek daya saing yang berbeza. --
Bernama
No comments:
Post a Comment