PUTRAJAYA 31 Mei - Defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat
kepada RM40.1 bilion berbanding RM39.8 bilion, sekali gus mengekalkan defisit
bajet sebanyak 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi
2018, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau
berkata, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad juga komited untuk melaksanakan sasaran utama manifesto dan
janji bagi mengurangkan bebanan rakyat yang disusuli dengan pengumuman tiga
pendekatan berkaitan.
"Pendekatan
itu adalah (pelaksanaan) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar
mulai 1 Jun dan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada
1 September tahun ini.
"Langkah ini akan 'mengembalikan' kira-kira RM17 bilion
kepada rakyat Malaysia untuk tempoh seterusnya bagi tahun ini," katanya
pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Guan Eng berkata kerajaan turut
mengumumkan mekanisme penstabilan harga minyak RON95 pada RM2.20 seliter
manakala diesel RM2.18 seliter yang membabitkan penjimatan sebanyak RM3 bilion
kepada rakyat negara ini.
Tidak ketinggalan, pemberian bantuan khas Hari Raya berjumlah
RM700 juta kepada penjawat awam (Gred 41 dan ke bawah) serta pesara yang turut
dinyatakan Guan Eng pada sidang media itu.
Beliau berkata, tiga pendekatan itu yang membabitkan jumlah
sehingga RM20.7 bilion akan merangsang perbelanjaan pengguna Malaysia dan
meningkatkan sentimen optimis dan keuntungan perniagaan.
"Pada masa sama, kita juga maklum mengenai (paras)
hutang kerajaan Persekutuan yang melebihi RM1 trilion dan perlu mengekalkan
disiplin fiskal bagi memastikan perbelanjaan secara mapan," katanya.
Malah, tegas beliau, sejajar usaha keutamaan perbelanjaan,
kerajaan akan mengkaji semula, menangguhkan serta melakukan rundingan semula
projek-projek yang dikenal pasti membabitkan kos besar dengan nilai
sekurang-kurangnya RM10 bilion yang pada akhirnya akan memberi hasil tambahan
kepada negara.
Guan Eng turut memperincikan hasil tambahan yang dimaksudkan
beliau termasuk anggaran RM5.4 bilion membabitkan kenaikan harga minyak
daripada US$52 setong yang digunapakai dalam Bajet 2018 kepada harga semasa
sebanyak US$70 setong.
Peningkatan
hasil itu adalah dalam bentuk pendapatan cukai korporat dan petroleum tambahan
daripada syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia, katanya.
Selain itu, hasil dianggarkan RM5 bilion disumbang oleh
peningkatan dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah
Nasional Berhad, Bank Negara Malaysia and Petroliam Nasional Berhad.
"Pelaksanaan SST pada
September nanti pula akan menyumbang hasil yang diunjurkan sebanyak RM4 bilion.
"Anggaran konservatif ini
adalah kerana hakikatnya hasil SST itu akan hanya direalisasikan mulai November
dan seterusnya dan mengambil kira mekanisme kutipan hutang dwibulanan bagi
pengilang tempatan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment