Friday 13 April 2018

Naikkan gaji minimum atau hapus GST?



BANTING: Naikkan gaji minimum, hapus gst dan wujudkan peluang pekerjaan menjadi antara topik utama yang diutarakan penduduk luar bandar khususnya di Selangor.

Dalam tinjauan yang dilakukan di daerah Kuala Langat, rata-rata penduduk menyatakan kegusaran mereka dengan peningkatan kos sara hidup.

Bagi mereka walaupun daerah itu bersempadan dengan dua daerah maju seperti Klang dan Sepang, namun kesan kemajuan tersebut tidak sampai ke daerah berkenaan sebaliknya terpaksa berdepan kenaikan harga barang.

Bagi seorang peniaga kedai kopi di Banting, Yew Chew, 41, berkata terkesan dengan kos kenaikan harga barang.

Katanya, ekoran kenaikan itu, dia terpaksa menaikkan sedikit kos barang jualan di kedai miliknya selari dengan kos yang ditanggung.

"Harga barangan mentah naik, apabila saya membeli barang saya terpaksa menaikkan harga selari dengan kos yang saya tanggung. Takkan saya mahu rugi.
"Namun, kenaikan harga jualan kopi di kedai saya masih lagi releven apabila hanya menaikkan 10 sen daripada harga RM1.20 kepada RM1.30 secawan. Saya cuba bertahan dulu la, tengok macam mana lepas pilihan raya," katanya.

Bagi seorang penduduk Martin Liew, 45, merasakan berlaku ketidakseimbangan ekonomi dengan pembangunan di negeri itu.

Perkara itu, katanya dapat dilihat apabila kos harga barang dan GST memberi impak nyata kepada kehidupan seharian selain tidak selari dengan gaji minimum.

"Betul Selangor, sebuah negeri maju tetapi gaji minimum di negeri ini macam tidak masuk akal. Tiada siapa yang sanggup hidup dengan pendapatan RM2,000 berkeluarga serta terhimpit dengan kos harga barang dan GST," katanya.

Bagi seorang peniaga Azri Tasiron, 38, pengalaman dibuang kerja dari sebuah syarikat multinasional telah mengajarnya erti hidup dan perjuangan.

Anak jati Kuala Langat itu terpaksa membuat keputusan berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan seharian.

Malah, apa yang dapat dilihat Azri, rata-rata penduduk terutama golongan muda berdepan kesulitan ekoran kekurangan peluang pekerjaan selain terpaksa berhijrah.

"Ramai yang mempunyai kelulusan tetapi peluang pekerjaan untuk penduduk di daerah ini tiada. Ini adalah perkara yang perlu diambil peduli oleh kerajaan.

Jelas Azri lagi peluang pekerjaan kurang di negeri itu hingga mengakibatkan ramai yang masih menganggur walaupun memiliki kelulusan.

"Bukan semua memilih pekerjaan tetapi memang tiada peluang pekerjaan untuk penduduk di daerah ini." jelasnya.

Sepanjang tinjauan yang dilakukan di Kuala Langat, terdapat beberapa isu lain yang turut diutarakan penduduk seperti isu pendidikan dan kesihatan bagi warga emas.

Selain itu rata-rata penduduk mahu sesuatu dilakukan bagi meningkatkan ekonomi daerah itu.

Bagi pekerja ladang di Banting, Sharif Wahi Samuji, 32, situasi kenaikan kos sara hidup dan ketiadaan peluang pekerjaan di kawasna itu dilihat boleh menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan belia.

"Kita tidak mahu golongan belia daerah ini terjerumus dengan masalah jenayah akibat kesempitan hidup," katanya. –Astroawani.



Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun ini - Bank Dunia



KUALA LUMPUR: Bank Dunia meningkatkan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini berbanding jangkaan sebelum ini sebanyak 5.2 peratus.

Dalam laporan terkini Bank Dunia mengenai Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi edisi April 2018, ia menyatakan, pertumbuhan Malaysia dijangka kekal kukuh dalam jangka waktu terdekat, walaupun dalam kadar sederhana berbanding 2017.

"Secara agregat, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh pengukuhan berterusan penggunaan swasta," kata laporan itu.

Laporan itu menyebut, dengan jangkaan penurunan dalam pelaburan awam, pembentukan modal tetap kasar akan dipacu terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan modal sektor swasta, yang dijangka dapat dikekalkan oleh aliran berterusan projek dan pelaburan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

"Kekukuhan prestasi eksport Malaysia dijangka berterusan pada setengah tahun pertama 2018, selaras peningkatan kitaran berterusan dalam perdagangan global, walaupun pada kadar lebih rendah berbanding tahun sebelumnya," kata laporan itu.

Sementara itu, menurut Bank Dunia, kerajaan kekal komited terhadap penyatuan fiskal ditengah-tengah jangkaan berterusan sasaran defisit fiskal sebanyak 2.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar yang dicapai pada 2018.

Sistem kawalan sosial Malaysia akan diperkuatkan melalui pengenalan Sistem Insurans Pekerja pada Januari 2018, kata Bank Dunia.

"Ia menyediakan sokongan pendapatan sehingga enam bulan dan bantuan mencari pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan.

"Seterusnya, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2019 dan 4.8 peratus pada 2020 dan dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2020 dan 2024," kata Bank Dunia.

Menurut laporan itu, risiko penurunan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, terutamanya adalah berkaitan persekitaran luaran.

Khususnya, penyesuaian yang mendadak terhadap keadaan pasaran kewangan global, atau pertumbuhan yang lebih rendah daripada dijangkakan dalam ekonomi utama selain permintaan eksport mungkin mempunyai kelemahan negatif yang tidak seimbang ke atas Malaysia, memandangkan tahap integrasi yang tinggi dengan ekonomi global dan pasaran kewangan, kata laporan itu.

Pengukuhan ekonomi menurut Bank Dunia, menawarkan peluang penting kepada Malaysia untuk mempercepatkan pembaharuan struktur bagi mengekalkan pertumbuhan jangka panjang dalam memudahkan peralihan ke arah kejayaan mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun-tahun mendatang.

Pada masa sama kata laporan itu, untuk mencapai bajet persekutuan yang hampir seimbang dalam jangka sederhana, memerlukan gelombang pembaharuan yang lebih mendalam untuk meningkatkan kutipan hasil dan memperbaiki kecekapan sektor awam, termasuk kecekapan sasaran program perlindungan sosial seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Apa yang juga penting kata laporan itu, adalah untuk mengukuhkan langkah bagi meningkatkan produktiviti buruh dan melaksanakan langkah dalam memastikan pertumbuhan itu terangkum dan menyediakan peluang kepada semua rakyat. --Bernama



Sektor e-dagang berpotensi lonjak dagangan Malaysia cecah RM2 trilion


KUALA LUMPUR: Sektor e-dagang berpotensi melonjakkan jumlah perdagangan Malaysia kepada RM2 trilion pada 2018 berbanding RM1.77 trilion tahun lepas, berikutan pelaksanaan pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata kerajaan berharap lebih banyak syarikat-syarikat Malaysia melaksanakan kaedah perdagangan baharu dan amalan perniagaan global berkenaan yang dapat membantu meningkatkan dagangan negara ini.

"Tahun lepas, jumlah perdagangan Malaysia mencatat RM1.77 trilion. Bagi tahun ini, sasaran kita sebanyak RM2 trilion dan saya berharap baki itu akan disumbangkan oleh sektor e-dagang tersebut," katanya dalam sesi taklimat media selepas melancarkan Platform Perkongsian E-Dagang Rentas Sempadan Malaysia-China (MCESP) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ong berkata China merupakan sebuah pasaran besar serta menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dengan menyumbang 28 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2017.

MCESP adalah kerjasama antara ICBC (M) Sdn Bhd, SF Global Express (M) Sdn Bhd, HomeDeal.my, Linghang International (M) Sdn Bhd dan Persatuan ePerniagaan Malaysia.

Platform perkongsian sumber dan pelbagai saluran dalam talian itu bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai kerjasama e-dagang dan pembangunan antara Malaysia dan China.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCESP, Michael Jan berkata produk berkaitan perlu melalui platform e-dagang tempatan di Malaysia, HomeDeal terlebih dahulu sebelum memasuki platform dalam talian ICBC Mall, Rong E Gou bagi mendapatkan akses ke pasaran China.

"PKS Malaysia memerlukan garis panduan lengkap untuk memanfaatkan pasaran China yang besar.
"Oleh itu, kami telah menghasilkan MCESP dengan memiliki struktur yang dapat memberi saluran lengkap untuk PKS tempatan dengan risiko dan kos yang minimum," katanya.

Beliau turut menyifatkan permintaan pasaran China itu menyediakan peluang besar bagi pembangunan e-dagang rentas sempadan.

Malah, data pemantauan Pusat Penyelidikan E-Dagang menunjukkan transaksi rentas sempadan China pada separuh pertama 2017 adalah berjumlah RMB3.6 trilion (RMB1=RM0.61) iaitu peningkatan sebanyak 30.7 peratus bagi tahun ke tahun.

Pada 2017, perolehan keseluruhan pasaran e-dagang mencecah AS$1 bilion (AS$1=RM3.87) dengan setiap pembeli dalam talian membelanjakan purata AS$74 seorang.

Menjelang 2021, perbelanjaan per kapita dijangka meningkat kepada AS$129 manakala jumlah hasil pasaran e-dagang diunjur mencecah AS$2.6 billion. – Bernama