Friday, 13 April 2018

Naikkan gaji minimum atau hapus GST?



BANTING: Naikkan gaji minimum, hapus gst dan wujudkan peluang pekerjaan menjadi antara topik utama yang diutarakan penduduk luar bandar khususnya di Selangor.

Dalam tinjauan yang dilakukan di daerah Kuala Langat, rata-rata penduduk menyatakan kegusaran mereka dengan peningkatan kos sara hidup.

Bagi mereka walaupun daerah itu bersempadan dengan dua daerah maju seperti Klang dan Sepang, namun kesan kemajuan tersebut tidak sampai ke daerah berkenaan sebaliknya terpaksa berdepan kenaikan harga barang.

Bagi seorang peniaga kedai kopi di Banting, Yew Chew, 41, berkata terkesan dengan kos kenaikan harga barang.

Katanya, ekoran kenaikan itu, dia terpaksa menaikkan sedikit kos barang jualan di kedai miliknya selari dengan kos yang ditanggung.

"Harga barangan mentah naik, apabila saya membeli barang saya terpaksa menaikkan harga selari dengan kos yang saya tanggung. Takkan saya mahu rugi.
"Namun, kenaikan harga jualan kopi di kedai saya masih lagi releven apabila hanya menaikkan 10 sen daripada harga RM1.20 kepada RM1.30 secawan. Saya cuba bertahan dulu la, tengok macam mana lepas pilihan raya," katanya.

Bagi seorang penduduk Martin Liew, 45, merasakan berlaku ketidakseimbangan ekonomi dengan pembangunan di negeri itu.

Perkara itu, katanya dapat dilihat apabila kos harga barang dan GST memberi impak nyata kepada kehidupan seharian selain tidak selari dengan gaji minimum.

"Betul Selangor, sebuah negeri maju tetapi gaji minimum di negeri ini macam tidak masuk akal. Tiada siapa yang sanggup hidup dengan pendapatan RM2,000 berkeluarga serta terhimpit dengan kos harga barang dan GST," katanya.

Bagi seorang peniaga Azri Tasiron, 38, pengalaman dibuang kerja dari sebuah syarikat multinasional telah mengajarnya erti hidup dan perjuangan.

Anak jati Kuala Langat itu terpaksa membuat keputusan berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan seharian.

Malah, apa yang dapat dilihat Azri, rata-rata penduduk terutama golongan muda berdepan kesulitan ekoran kekurangan peluang pekerjaan selain terpaksa berhijrah.

"Ramai yang mempunyai kelulusan tetapi peluang pekerjaan untuk penduduk di daerah ini tiada. Ini adalah perkara yang perlu diambil peduli oleh kerajaan.

Jelas Azri lagi peluang pekerjaan kurang di negeri itu hingga mengakibatkan ramai yang masih menganggur walaupun memiliki kelulusan.

"Bukan semua memilih pekerjaan tetapi memang tiada peluang pekerjaan untuk penduduk di daerah ini." jelasnya.

Sepanjang tinjauan yang dilakukan di Kuala Langat, terdapat beberapa isu lain yang turut diutarakan penduduk seperti isu pendidikan dan kesihatan bagi warga emas.

Selain itu rata-rata penduduk mahu sesuatu dilakukan bagi meningkatkan ekonomi daerah itu.

Bagi pekerja ladang di Banting, Sharif Wahi Samuji, 32, situasi kenaikan kos sara hidup dan ketiadaan peluang pekerjaan di kawasna itu dilihat boleh menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan belia.

"Kita tidak mahu golongan belia daerah ini terjerumus dengan masalah jenayah akibat kesempitan hidup," katanya. –Astroawani.



No comments:

Post a Comment