KUALA LUMPUR: Sektor e-dagang
berpotensi melonjakkan jumlah perdagangan Malaysia kepada RM2 trilion pada 2018
berbanding RM1.77 trilion tahun lepas, berikutan pelaksanaan pelbagai insentif
yang disediakan oleh kerajaan.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata kerajaan
berharap lebih banyak syarikat-syarikat Malaysia melaksanakan kaedah
perdagangan baharu dan amalan perniagaan global berkenaan yang dapat membantu
meningkatkan dagangan negara ini.
"Tahun lepas, jumlah
perdagangan Malaysia mencatat RM1.77 trilion. Bagi tahun ini, sasaran kita
sebanyak RM2 trilion dan saya berharap baki itu akan disumbangkan oleh sektor
e-dagang tersebut," katanya dalam sesi taklimat media selepas melancarkan
Platform Perkongsian E-Dagang Rentas Sempadan Malaysia-China (MCESP) di sini,
hari ini.
Mengulas selanjutnya, Ong berkata
China merupakan sebuah pasaran besar serta menjadi rakan dagang terbesar
Malaysia dengan menyumbang 28 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada
2017.
MCESP adalah kerjasama antara ICBC
(M) Sdn Bhd, SF Global Express (M) Sdn Bhd, HomeDeal.my, Linghang International
(M) Sdn Bhd dan Persatuan ePerniagaan Malaysia.
Platform perkongsian sumber dan
pelbagai saluran dalam talian itu bertujuan membantu perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) menyertai kerjasama e-dagang dan pembangunan antara Malaysia
dan China.
Sementara itu, Setiausaha Agung
MCESP, Michael Jan berkata produk berkaitan perlu melalui platform e-dagang
tempatan di Malaysia, HomeDeal terlebih dahulu sebelum memasuki platform dalam
talian ICBC Mall, Rong E Gou bagi mendapatkan akses ke pasaran China.
"PKS Malaysia memerlukan garis
panduan lengkap untuk memanfaatkan pasaran China yang besar.
"Oleh itu, kami telah
menghasilkan MCESP dengan memiliki struktur yang dapat memberi saluran lengkap
untuk PKS tempatan dengan risiko dan kos yang minimum," katanya.
Beliau turut menyifatkan permintaan
pasaran China itu menyediakan peluang besar bagi pembangunan e-dagang rentas
sempadan.
Malah, data pemantauan Pusat
Penyelidikan E-Dagang menunjukkan transaksi rentas sempadan China pada separuh
pertama 2017 adalah berjumlah RMB3.6 trilion (RMB1=RM0.61) iaitu peningkatan
sebanyak 30.7 peratus bagi tahun ke tahun.
Pada 2017, perolehan keseluruhan
pasaran e-dagang mencecah AS$1 bilion (AS$1=RM3.87) dengan setiap pembeli dalam
talian membelanjakan purata AS$74 seorang.
Menjelang 2021, perbelanjaan per
kapita dijangka meningkat kepada AS$129 manakala jumlah hasil pasaran e-dagang
diunjur mencecah AS$2.6 billion. – Bernama
No comments:
Post a Comment