Saturday 10 February 2018

PENDAPATAN ISI RUMAH TAHUN 2014 DAN 2016


Pendapatan Penengah
Pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia telah meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014 iaitu tumbuh pada kadar 6.6 peratus setahun pada nilai nominal. Pada nilai benar, pendapatan isi rumah bulanan penengah meningkat sebanyak 4.4 peratus. Pendapatan isi rumah bulanan penengah di strata bandar meningkat pada kadar 6.4 peratus setahun daripada RM5,156 pada 2014 kepada RM5,860 pada 2016. Pada masa yang sama, pendapatan isi rumah bulanan penengah luar bandar turut bertambah pada kadar 5.3 peratus setahun daripada RM3,123 (2014) kepada RM3,471 (2016).


Pendapatan Penengah Bagi Kumpulan Isi Rumah
Pendapatan isi rumah bulanan penengah bagi kumpulan terendah 40% (B40), kumpulan pertengahan 40% (M40) dan kumpulan tertinggi 20% (T20) telah meningkat pada 2016 berbanding 2014. Kumpulan isi rumah M40 telah merekodkan pertumbuhan tertinggi, sebanyak 6.9 peratus setahun diikuti oleh kumpulan isi rumah B40 (6.6%) dan T20 (6.2%).


Pendapatan Penengah Mengikut Negeri
W.P. Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM9,073 diikuti oleh W.P. Putrajaya (RM8,275), Selangor (RM7,225), W.P. Labuan (RM5,928), Johor (RM5,652), Melaka (RM5,588) dan Pulau Pinang (RM5,409). Negeri-negeri lain merekodkan pendapatan penengah di bawah paras nasional iaitu RM5,228. Terengganu mencatatkan peningkatan tertinggi kadar pertumbuhan tahunan bagi pendapatan isi rumah bulanan penengah sebanyak 10.9 peratus dalam tempoh 2014 hingga 2016. Enam negeri lain juga melepasi kadar pertumbuhan penengah di peringkat nasional, iaitu Perlis (9.2%), W.P. Kuala Lumpur (8.7%), Pahang (8.0%) Selangor (7.5%), Perak (7.5%) dan Pulau Pinang (7.0%).


Pendapatan Purata
Pendapatan isi rumah bulanan purata Malaysia telah meningkat daripada RM6,141 pada 2014 kepada RM6,958 pada 2016 iaitu peningkatan 6.2 peratus pada nilai nominal. Pada nilai benar, pendapatan isi rumah bulanan purata tumbuh pada kadar 4.2 peratus setahun. Pendapatan isi rumah bulanan purata di bandar meningkat 5.8 peratus setahun daripada RM6,833 kepada RM7,671 dalam tempoh 2014 hingga 2016. Sementara itu, pendapatan isi rumah bulanan purata di luar bandar pula bertambah pada kadar 6.5 peratus setahun daripada RM3,831 (2014) kepada RM4,359 (2016).


Pendapatan Purata Mengikut Negeri
W.P. Kuala Lumpur merekodkan pendapatan isi rumah bulanan purata tertinggi (RM11,692) pada 2016, diikuti oleh W.P. Putrajaya (RM11,555), Selangor (RM9,463) dan W.P. Labuan (RM8,174). Negeri-negeri lain merekodkan pendapatan isi rumah bulanan purata di bawah paras nasional (RM6,958). Pendapatan isi rumah bulanan purata bagi semua negeri telah meningkat di mana lima negeri melebihi kadar purata pertumbuhan nasional iaitu 6.2 peratus. Terengganu mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 9.1 peratus, diikuti oleh Perak (8.6%), Pahang (7.2%), Selangor (6.8%) dan Kelantan (6.3%).


Pendapatan Purata Mengikut Kumpulan Isi Rumah
Pendapatan isi rumah bulanan purata bagi semua kumpulan isi rumah mencatatkan peningkatan dalam tempoh 2014 kepada 2016. Kumpulan M40 merekodkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi sebanyak 6.9 peratus daripada RM5,662 pada 2014 kepada RM6,502 pada 2016.


Pendapatan Isi Rumah Peringkat Daerah Pentadbiran
Daerah pentadbiran Sepang (RM8,174), Petaling (RM7,904), Gombak (RM7,903), Hulu Langat (RM7,851), Klang (RM6,724) dan Johor Bahru (RM6,518) mencatatkan Pendapatan bulanan isi rumah penengah tertinggi daripada 140 daerah pentadbiran pada tahun 2016. Trend yang sama juga ditunjukkan dalam pendapatan bulanan isi rumah purata. Kedudukan dalam kumpulan enam tertinggi ini adalah tidak berubah berbanding 2014. Tujuh belas daerah mencatatkan nilai pendapatan isi rumah penengah melebihi paras penengah nasional iaitu RM5,228 dan 11 daerah mempunyai nilai pendapatan isi rumah purata melebihi paras purata nasional iaitu RM6,958.


KETIDAKSEIMBANGAN MENGIKUT STRATA
Pekali Gini menurun kepada 0.399 daripada 0.401 (2014). Ini menunjukkan pengagihan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia bertambah baik. Taburan pendapatan isi rumah strata bandar menurun kepada 0.389 daripada 0.391 (2014), manakala pengagihan pendapatan strata luar bandar meningkat kepada 0.364 daripada 0.355 (2014).


INSIDEN KEMISKINAN
Insiden kemiskinan keseluruhan bertambah baik daripada 0.6 peratus pada 2014 kepada 0.4 peratus pada 2016. Pada masa yang sama, insiden kemiskinan di bandar dan luar bandar turut mencatatkan penurunan masing-masing kepada 0.2 peratus dan 1.0 peratus. Kesemua negeri mencatatkan penurunan dalam insiden kemiskinan dengan perubahan ketara di Sabah daripada 4.0 peratus pada 2014 kepada 2.9 peratus pada tahun 2016.



Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

No comments:

Post a Comment