BANTING: Naikkan gaji minimum,
hapus gst dan wujudkan peluang pekerjaan menjadi antara topik utama yang
diutarakan penduduk luar bandar khususnya di Selangor.
Dalam tinjauan yang dilakukan di
daerah Kuala Langat, rata-rata penduduk menyatakan kegusaran mereka dengan
peningkatan kos sara hidup.
Bagi mereka walaupun daerah itu
bersempadan dengan dua daerah maju seperti Klang dan Sepang, namun kesan
kemajuan tersebut tidak sampai ke daerah berkenaan sebaliknya terpaksa berdepan
kenaikan harga barang.
Bagi seorang peniaga kedai kopi di
Banting, Yew Chew, 41, berkata terkesan dengan kos kenaikan harga barang.
Katanya, ekoran kenaikan itu, dia
terpaksa menaikkan sedikit kos barang jualan di kedai miliknya selari dengan
kos yang ditanggung.
"Harga barangan mentah naik,
apabila saya membeli barang saya terpaksa menaikkan harga selari dengan kos
yang saya tanggung. Takkan saya mahu rugi.
"Namun, kenaikan harga jualan
kopi di kedai saya masih lagi releven apabila hanya menaikkan 10 sen daripada
harga RM1.20 kepada RM1.30 secawan. Saya cuba bertahan dulu la, tengok macam
mana lepas pilihan raya," katanya.
Bagi seorang penduduk Martin Liew,
45, merasakan berlaku ketidakseimbangan ekonomi dengan pembangunan di negeri
itu.
Perkara itu, katanya dapat dilihat
apabila kos harga barang dan GST memberi impak nyata kepada kehidupan seharian
selain tidak selari dengan gaji minimum.
"Betul Selangor, sebuah negeri
maju tetapi gaji minimum di negeri ini macam tidak masuk akal. Tiada siapa yang
sanggup hidup dengan pendapatan RM2,000 berkeluarga serta terhimpit dengan kos
harga barang dan GST," katanya.
Bagi seorang peniaga Azri Tasiron,
38, pengalaman dibuang kerja dari sebuah syarikat multinasional telah
mengajarnya erti hidup dan perjuangan.
Anak jati Kuala Langat itu terpaksa
membuat keputusan berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan seharian.
Malah, apa yang dapat dilihat Azri,
rata-rata penduduk terutama golongan muda berdepan kesulitan ekoran kekurangan
peluang pekerjaan selain terpaksa berhijrah.
"Ramai yang mempunyai
kelulusan tetapi peluang pekerjaan untuk penduduk di daerah ini tiada. Ini
adalah perkara yang perlu diambil peduli oleh kerajaan.
Jelas Azri lagi peluang pekerjaan
kurang di negeri itu hingga mengakibatkan ramai yang masih menganggur walaupun
memiliki kelulusan.
"Bukan semua memilih pekerjaan
tetapi memang tiada peluang pekerjaan untuk penduduk di daerah ini."
jelasnya.
Sepanjang tinjauan yang dilakukan
di Kuala Langat, terdapat beberapa isu lain yang turut diutarakan penduduk
seperti isu pendidikan dan kesihatan bagi warga emas.
Selain itu rata-rata penduduk mahu
sesuatu dilakukan bagi meningkatkan ekonomi daerah itu.
Bagi pekerja ladang di Banting,
Sharif Wahi Samuji, 32, situasi kenaikan kos sara hidup dan ketiadaan peluang
pekerjaan di kawasna itu dilihat boleh menyumbang kepada masalah sosial dalam
kalangan belia.
"Kita tidak mahu golongan
belia daerah ini terjerumus dengan masalah jenayah akibat kesempitan
hidup," katanya. –Astroawani.