KUALA LUMPUR: Bank Dunia
meningkatkan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini
berbanding jangkaan sebelum ini sebanyak 5.2 peratus.
Dalam laporan terkini Bank Dunia
mengenai Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi edisi April 2018, ia menyatakan,
pertumbuhan Malaysia dijangka kekal kukuh dalam jangka waktu terdekat, walaupun
dalam kadar sederhana berbanding 2017.
"Secara agregat, kadar
pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh pengukuhan berterusan penggunaan
swasta," kata laporan itu.
Laporan itu menyebut, dengan
jangkaan penurunan dalam pelaburan awam, pembentukan modal tetap kasar akan
dipacu terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan modal sektor swasta, yang
dijangka dapat dikekalkan oleh aliran berterusan projek dan pelaburan modal
dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.
"Kekukuhan prestasi eksport
Malaysia dijangka berterusan pada setengah tahun pertama 2018, selaras
peningkatan kitaran berterusan dalam perdagangan global, walaupun pada kadar
lebih rendah berbanding tahun sebelumnya," kata laporan itu.
Sementara itu, menurut Bank Dunia,
kerajaan kekal komited terhadap penyatuan fiskal ditengah-tengah jangkaan
berterusan sasaran defisit fiskal sebanyak 2.8 peratus daripada keluaran dalam
negara kasar yang dicapai pada 2018.
Sistem kawalan sosial Malaysia akan
diperkuatkan melalui pengenalan Sistem Insurans Pekerja pada Januari 2018, kata
Bank Dunia.
"Ia menyediakan sokongan
pendapatan sehingga enam bulan dan bantuan mencari pekerjaan kepada pekerja
yang diberhentikan.
"Seterusnya, ekonomi Malaysia
dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2019 dan 4.8 peratus pada 2020
dan dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2020 dan
2024," kata Bank Dunia.
Menurut laporan itu, risiko
penurunan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, terutamanya adalah berkaitan
persekitaran luaran.
Khususnya, penyesuaian yang
mendadak terhadap keadaan pasaran kewangan global, atau pertumbuhan yang lebih
rendah daripada dijangkakan dalam ekonomi utama selain permintaan eksport
mungkin mempunyai kelemahan negatif yang tidak seimbang ke atas Malaysia,
memandangkan tahap integrasi yang tinggi dengan ekonomi global dan pasaran
kewangan, kata laporan itu.
Pengukuhan ekonomi menurut Bank
Dunia, menawarkan peluang penting kepada Malaysia untuk mempercepatkan
pembaharuan struktur bagi mengekalkan pertumbuhan jangka panjang dalam
memudahkan peralihan ke arah kejayaan mencapai status negara berpendapatan tinggi
pada tahun-tahun mendatang.
Pada masa sama kata laporan itu,
untuk mencapai bajet persekutuan yang hampir seimbang dalam jangka sederhana,
memerlukan gelombang pembaharuan yang lebih mendalam untuk meningkatkan kutipan
hasil dan memperbaiki kecekapan sektor awam, termasuk kecekapan sasaran program
perlindungan sosial seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia.
Apa yang juga penting kata laporan
itu, adalah untuk mengukuhkan langkah bagi meningkatkan produktiviti buruh dan
melaksanakan langkah dalam memastikan pertumbuhan itu terangkum dan menyediakan
peluang kepada semua rakyat. --Bernama
No comments:
Post a Comment